Wednesday 20 March 2013

Pengenalan Permainan Tradisional


PENGENALAN
Masyarakat Melayu mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang digarap daripada pelbagai keturunan. Kebudayaan ini disatukan menjadi satu kebudayaan yang unik kerana hampir setiap keturunan mempunyai adat sehingga membentuk kebudayaan Melayu. Ini termasuklah suka bergotong-royong menjalankan kegiatan ekonomi, di mana ikatan itu terus diperkukuh dan dipererat dengan acara-acara keramaian dan juga hiburan. Lantaran resam yang demikian maka banyak permainan tradisional yang dipertandingkan.
Permainan tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Asas penting yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Kegiatan harian, bermusim dan tahunan daripada individu ke individu tidak banyak berbeza. Ini membolehkan mereka bekerja dan berhibur pada masa yang sama. Malah sejak dari kecil lagi mereka membiasakan diri dengan keadaan yang demikian. Apabila musim menuai padi berakhir dan musim tengkujuh tiba pesawah dan nelayan mengisinya dengan kerja-kerja sampingan. Kerja-kerja demikian boleh ditangguhkan dengan mudah. Tempoh peralihan antara musim inilah digunakan untuk mengadakan keramaian serta pesta.
Apabila sesuatu permainan diadakan di sesebuah kampung, penduduk kampung berdekatan turut berkunjung untuk mengambil bahagian atau sekadar memberi semangat. Suasana pesta di padang permainan boleh mewujudkan interaksi sosial di antara kampung-kampung yang mengambil bahagian. Oleh yang demikian permainan tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat. Ada di antara permainan ini yang sekarang tidak dimainkan lagi tetapi hanya diketahui oleh ibu bapa dan datuk nenek kita sahaja. Tetapi ada juga yang masih dimainkan lagi oleh kanak-kanak sehingga hari ini. Di antara permainan itu termasuklah guli, congkak, wau, selambut, sepak raga, gasing dan lain-lain.
~ Terima Kasih kerana sudi meluangkan masa bersama blog kami ~

No comments:

Post a Comment

MODULE CREATIVE AND CRITICAL THINKING