Tuesday, 19 March 2013

Sepak Bulu Ayam (capteh)


Permainan sepak bulu ayam terkenal sejak dahulu kala. Dapat dibanggakan, permainan ini sampai kini masih menjadi pilihan untuk beriadah dan mengisi waktu lapang. Biasanya kanak-kanak lelakilah yang suka benar dengan permainan ini. Lebih menarik kerana permainan ini sesuai dimainkan bila-bila masa sahaja. Biasanya waktu petanglah yang sesuai untuk bermain. Dari segi pemilihan tempat pula, seelok-eloknya biarlah kawasan lapang agar pergerakan pemain tidak terbatas.

Berkenaan bulu ayam yang digunakan, bentuknya sekali imbas hampir menyerupai bulu tangkis yang ada sekarang ini. Penyediaannya tidak terlalu rumit atau memakan masa yang panjang. Tidak juga membebankan dari segi modal. Malah boleh dikatakan sesiapa juga yang ingin bermain mampu membuatnya sendiri. Ada yang perlu ada 3, 4 atau 5 helai bulu ayam yang keras dan sederhana besarnya diikat pada sekeping getah tebal. Boleh juga gunakan getah tiub tayar. Getah itu terlebih dahulu dipotong bulat dengan ukuran garis pusatnya kira-kira 4 cm. Getah itu digamkan berlapis-lapis supaya tebal. Kemudian sebatang paku pendek di cucuk di tengah-tengahnya. Paku itu berfungsi sebagai pemberat dan sebagai tempat untuk mengikat pangkal bulu-bulu ayam. Maka siaplah bulu ayam untuk dimainkan.

Ia lebih seronok dimainkan beramai-ramai atau berpasukan. Kalau dah tak ada, berdua pun jadilah. Dahulu, waktu petang di kampung-kampung, permainan inilah menjadi pilihan. Pemain tidak boleh marah, maka senda gurau tidak ketinggalan dan membuatkan gelanggang riuh rendah. Sekarang, walaupun tidak sekerap dahulu, kita masih dapat menyaksikan permainan warisan ini. Masih ada kanak-kanak yang menghidupkan permainan ini. Di sekolah, pada waktu rehat umpamanya, kedapatan murid-murid yang menunjukkan kemahiran menimbang bulu ayam ini.
capteh yang telah siap

Permainan ini lebih menekankan kemahiran menimbang bulu ayam dengan kaki. Memandangkan permainan ini merupakan perlumbaan mengutip mata, pemain akan menimbang bulu ayam sekerap yang mungkin tanpa menjatuhkannya ke tanah. Semakin tinggi jumlah timbangan, semakin terserlahlah kemahiran si pemain. Jadi, si pemain mesti pantas pergerakkan kakinya. Barangkali atas faktor inilah maka kaum perempuan tidak menggemari permainan ini.

Dari segi peraturan, pemain yang berjaya membuat timbangan yang banyaklah akan menjadi juara. Bulu ayam perlu di sepak dengan tepi tumit atau sebelah dalam kaki. Dalam keadaan tertentu, pemain dibenarkan menyambut bulu ayam dengan kepala, dada atau lutut. Asalkan bukan dengan tangan kerana jika terkena tangan, pemain dikita "mati". Bagaimanapun timbangan yang dibuat selain daripada kaki tidak dikira. Sebelum permainan dimulakan, hak memulakan permainan mesti ditentukan.

Satu pencapaian yang dikira memuaskan jika kiraan mencecah tiga angka. Lagi tinggi kiraan, lagi bersemangatlah bermain. Kiraan pula diiringi gemuruh dengan sorakan penonton. Pemain kian kental semangatnya. Moga-moga, bulu ayam dapat ditimbang terus dengan elok, tidak terburai dan tidak ditiup angin kencang. Moga-moga si pemain tidak tersepak akar atau batu dan bulu ayam jatuh ke tanah.

~ Terima Kasih kerana sudi meluangkan masa bersama blog kami ~

No comments:

Post a Comment

MODULE CREATIVE AND CRITICAL THINKING